4/20/2011

Perutusan NYDP PMIUM - Rohayu Rusli

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kepada Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan kasih sayangNya kita masih lagi diberi peluang untuk bernafas dan meneruskan kehidupan. Dengan sifat Ar-Rahman Allah jualah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) masih segar menggerakkan idea faham Islam di universiti yang kita cintai ini. Dengan sifat Ar-Rahman Allah jualah saya dapat bertemu rakan-rakan mahasiswa di dalam perutusan pertama saya selaku Naib Yang Di-Pertua PMIUM sesi 2011/2012. Salam perkenalan dan salam kasih sayang saya ucapkan.

Rakan-rakan mahasiswa yang saya kasihi

Islam adalah agama penyatuan yang meraikan perbezaan dan mengangkat nilai persamaan. Walaupun kita lahir dari latarbelakang yang berbeza sama ada berlainan bangsa, agama, keturunan, jantina atau kedudukan, kita adalah sama nilaiannya di sisi Allah s.w.t. Hal ini disebut jelas di dalam Al-Quran yang mengangkat nilai persamaan antara manusia sekaligus menganjurkan supaya manusia berkenal-kenalan antara satu sama lain untuk mencapai nilai kebersamaan dan kesatuan

Dengan roh penyatuan yang ditiupkan Islam ini, PMIUM mengambil langkah bergerak sebagai medan penyatu bagi seluruh mahasiswa di kampus. PMIUM bukanlah hanya untuk mahasiswa yang beragama Islam dan berbangsa Melayu sahaja, namun PMIUM adalah untuk semua tidak kira dari apa jua agama dan bangsa. PMIUM bukanlah hanya untuk mahasiswa penuntut Akademi Pengajian Islam sahaja, tetapi PMIUM sebenarnya adalah untuk semua tidak kira dari apa jua latar belakang pengajian. Justeru, suka untuk saya nyatakan di dalam perutusan kali ini bahawa PMIUM adalah untuk semua. Ya, PMIUM adalah untuk semua

Rakan-rakan yang saya hormati

Mahasiswi adalah antara golongan yang menjadi fokus utama PMIUM di bawah seliaan Hal Ehwal Wanita (HEWI PMIUM). Sebenarnya bagi seluruh mahasiswi, HEWI PMIUM adalah antara medium yang paling efisien untuk melahirkan mahasiswi yang berdikari, berani dan berkepimpinan. Pada sesi kali ini, saya bersama-sama HEWI PMIUM berusaha sedaya upaya memastikan partisipasi entiti mahasiswi dalam apa jua bidang. Bukan sahaja dalam aspek wanita dan kekeluargaan, malah juga berpartisipasi dalam aspek pendidikan, ekonomi, politik, hiburan, sosial dan lain-lain. Walaubagaimanapun, HEWI PMIUM tetap mengambil berat aspek kebajikan dan keselamatan mahasiswi dalam usaha menjadi 'mahasiswi-centre' di kampus.

Namun dalam usaha ke arah itu, saya mengharapkan sokongan dan dokongan daripada seluruh mahasiswa di kampus khususnya mahasiswi untuk bersama-sama merealisasikan halatuju HEWI PMIUM kali ini. Tidak lupa juga di akhir semester ini, saya mewakili seluruh kepimpinan mahasiswi mengucapkan selamat mengulangkaji peperiksaan dan selamat maju jaya. Semoga setiap amalan dan usaha kita mendapat nilaian di sisi Allah dan juga memberi manfaat kepada agama, masyarakat dan Negara

"Bersama Menerajui Perubahan"

Salam kasih sayang daripada saya,

Rohayu bt Rusli

Naib Yang Di-Pertua

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM

Sesi 2011/2012

1 comments:

Azlan Zainal said...

PAS ni memang bangang. Baca blog aku untuk pendedahan:
maharajazhou.wordpress.com

Post a Comment

 
© Design Blog : LajPen PMIUM ~PMIUM 10/11~