5/03/2010

Bermujahadah Membina Tapak Keluarga

Penulis : http://nuwairahazzahra.blogspot.com/


Melayari bahtera perkahwinan dengan strategi dan pelan tindakan yang khusus seringkali dibincangkan di banyak peringkat. Mereka yang belum bernikah lagi seperti saya pastinya bukan orang yang berautoriti untuk berbicara soal alam perkahwinan. Pastinya akan banyak cacatnya yang kelak akan membawa kepada celanya. Justeru saya menimbang-nimbang semula, aspek mana yang perlu saya bicarakan supaya akhirnya kelak boleh membuka minda golongan yang berkeluarga mahupun yang baru mengimpikannya. Lantaran itu, saya berkeputusan untuk membincangkan soal ‘pembinaan tapak keluarga’ yang saya kira sebagai batu asas penting yang sangat perlu diambil berat. A long journey begins with a single step! Dan ia tidak lain, hanyalah mencari penawar dalam permasalahan institusi kekeluargaan di negara kita yang semakin parah dan bernanah.




 Kesediaan berstatus suami dan isteri

Membina tapak sesebuah keluarga bukan hanya seperti meletak batu asas dalam membangun tanah, tetapi jauh lebih berat dari membina menara tertinggi di dunia. Perkara pertama yang perlu dipersoal kepada diri ialah soal kesediaan kita untuk memegang status suami orang atau isteri orang. Justeru hakikatnya, ringan di bibir, di hati hanya Allah yang tahu. Mulakanlah berfikir soal kewangan, makan minum, tempat tinggal dan belanja besar ketika bergelar ayah dan ibu. Bagi pelajar universiti yang hanya bergantung kepada biasiswa saban semester seperti saya, pastinya ia suatu beban yang teramatlah berat. Hidup sendiri seperti sekarang pun sudah seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, apatah lagi jika hidup berkeluarga.

Tetapi bagaimana pula dengan golongan berkerjaya dan memiliki kewangan sendiri?
Ilmu kekeluargaan itulah pula yang utama. Tapak ilmu ini malah menjadi paling penting berbanding adanya rumah dan kereta dalam fasa membina keluarga. Ilmu dari pelbagai sudut-agama, kasih sayang, kepimpinan, pengurusan kewangan, psikologi,dan pelbagai lagi ini perlu menjadi bekal sebelum bersetuju memikul tanggungjawab yang lebih besar. Jangan disebabkan kita mengambil ringan soal ini, layar perkahwinan akhirnya dikendali tanpa hala tuju!
Setelah dicongak-congak dan dipertimbangkan, jika soal kewangan dan ilmu ini tidak menjadi masalah, maka bersedialah pula untuk berhadapan dengan orang tua yang masih bertanggungjawab ke atas kita. Redha Allah terletak pada redha ibu bapa- inilah yang menjadikan perkahwinan berkat, adanya restu dan persetujuan dari ibu bapa. Saya jadi teringat kata-kata abah tersayang- perkahwinan antara suami bukan hanya dengan isteri, perkahwinan isteri juga tidak hanya dengan suami, tetapi keduanya turut ‘berkahwin’ dengan keluarga masing-masing. Janganlah sesekali perkahwinan itu dibina tanpa restu dan redha keduanya,kelak bukan bahagia yang dikecapi tapi hanya duri yang menyeksa!


Soulmate di jalan Allah
Jika peringkat membina kesediaan berkeluarga tadi telah selesai, maka diteruskan pula usaha membina tapak ini ke peringkat seterusnya- mencari soulmate di jalan Allah. Jangan terlalu dirisaukan, telah Islam mengajarkan kepada manusia bagaimana caranya memilih pasangan. Bagi kaum adam, jadikan hadis di bawah sebagai panduan.

Maksudnya: Dinikahi seseorang wanita kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beroleh keuntungan. (Muttafaq ‘alaih).

 Sahabat golongan hawa pula, ambillah iktibar dan pengajaran ayat Allah SWT di bawah ini:




 Adakah semudah itu sifirnya? Pasti tidak. Yang paling mustahak, asasnya ialah- mencari soulmate perlulah di jalan Allah, di jalan dakwah dan tarbiyah islamiyah. Matlamat akhirnya bagaimana pula? Pastinya demi Islam, demi kesinambungan perjuangan aqidah yang telah dimulakan oleh para rasul dan nabi terdahulu. Bukan kerana cantiknya seorang wanita, manisnya senyumannya atau ayunya tawanya. Bukan juga kerana ketampanan seorang lelaki, ke-macho-annya atau kekayaan hartanya. Jika semua ini yang dicari, bersedialah berhadapan dengan kegagalan berumahtangga!

Menguruskan hubungan



Inilah peringkat terakhir sebelum termeteri sebuah aqad penerimaan tanggungjawab. Bagaimana mahu mengulasnya? Saya juga bukan orang yang paling berautoriti. Tetapi saya ingin berusaha mendatangkan tips dan nasihat mereka yang lebih ‘akbar’ agar taqwa dan iman sentiasa dipadukan di dalam menguruskannya.
Teringat kata-kata Ustazah Yoyoh Yusra seorang pendokong Islam di Indonesia (Partai Keadilan ),di setiap amalan dan perbuatan, hadirkanlah Allah! Saya kira ini kuncinya dalam menguruskan hubungan. Allah dihadirkan bersama agar matlamat dan tujuan berhubungan  sebelum perkahwinan itu terpandu. Tidaklah seperti banyaknya pasangan masa kini, yang menjadikan pertunangan adalah masa untuk saling mengenali.Sehingga komunikasi tanpa batasan, siang malam pagi petang melepas kerinduan. Diusung pasangan ke sana ke mari, hukum dan perintah Allah entah di letak di mana, bahkan larangannya pula jadi amalan. Nauzubillahi min zalik.
Jadi bagaimana caranya supaya lebih mengenali sebelum berkongsi segalanya?
Berhubungalah sesama pasangan, tetapi ada peraturan dan syaratnya yang wajib dipatuhi. Rujuklah di sini http://www.zaharuddin.net/content/view/212/99/, saya yakin penerangan ust zaharuddin ini boleh dijadikan panduan. Patuhilah perintah Allah, jauhilah larangan Allah. Nafsu dan desakan perasaan itu hanyalah sementara dan kecil nikmatnya berbanding perhubungan halal hasil ‘tapak’ yang dijaga dengan sebaiknya, dengan mujahadah yang tinggi.
Saya seru terutamanya kepada para penggerak tarbiyah di kampus atau di mana-mana sahaja, kita sepatutnya menjadi golongan contoh, teladan yang baik kepada yang lainnya. Kegagalan kita dalam usaha bermujahadah menyediakan tapak yang baik dalam membina keluarga, pasti membuahkan kekecewaan kelak yang bukan sedikit kesan buruknya. Calon suami sudah soleh, calon isteri sudah solehah, tapi jika perhubungan tidak dipelihara dan diuruskan dengan mujahadah, tapak keluarga yang ingin dibina pasti tidak sempurna. Yang digusarkan, akan makin jauhlah redha dan keberkatan dari Allah.

Perkahwinan = Ketenangan

Sifir mudahnya ialah perkahwinan=ketenangan. Jika perkahwinan tidak memberikan ketenangan, maka ada sesuatu di dalamnya yang perlu dihalusi,diperbaiki,dimuhasabah. Krisis rumahtangga yang berlaku hingga membawa kepada kehancuran nilai kemanusiaan pastinya berpunca dari terhakisnya nilai-nilai ketenangan ini dalam rumahtangga. 
Saya sendiri tidak pasti apakah maknanya ketenangan dalam perkahwinan, tetapi ayat Allah di atas membuatkan saya yakin bahawa ketenangan yang Allah janjikan pasti luar biasa. Justeru wajar untuk kita insafi, kita perhatikan. Sejauhmana tapak yang kita sediakan dalam membina rumahtangga Islam ini akan membawa kepada sebuah ketenangan yang luar biasa? Adakah ia tapak yang bercampur antara yang hak (makruf)dan yang batil (mungkar)? Atau ia tapak yang didirikan dengan mujahadah dan kesabaran mentaati perintah Allah? Jawablah dengan iman,dengan taqwa. Mudah-mudahan kita tergolong dalam hamba Allah yang sentiasa memburu redha NYA. Wallahua'lam...


*Penulis merupakan Naib Presiden PMIUM

0 comments:

Post a Comment

 
© Design Blog : LajPen PMIUM ~PMIUM 10/11~