5/04/2010

Pendirian PMIUM berhubung kes adik Aminulrasyid.

PENDIRIAN DAN KENYATAAN MEDIA PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM) BERKAITAN ISU KEMATIAN ADIK AMINULRASYID


Pendahuluan

Berbagai spekulasi yang diwar-warkan media mengenai kes arwah adik Aminulrasyid Amzah.  Aminulrasyid, remaja berusia 15 tahun, pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Seksyen 9, Shah Alam dilaporkan mati ditembak polis ketika memandu kereta awal pagi, 26 April lalu. Menurut laporan media sehingga ke hari ini, ada yang mengaitkan Aminulrasyid dengan  aktiviti jenayah, namun di nafikan oleh ibu kepada Allahyarham.

Terbaru rakan kepada Allahyarham yang menaiki kereta bersamanya pagi itu telah tampil memberi kenyataan. Muhamad Azamuddin Omar, 15, yang menaiki Proton Iswara dipandu Allahyarham pada hari kejadian menjelaskan peristiwa itu bermula selepas kereta Aminulrasyid bergesel dengan sebuah kereta berhampiran restoran di Seksyen 7 Shah Alam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 11.

Berikutan kejadian itu, katanya, beberapa penunggang motosikal mengejar mereka menyebabkan Aminulrasyid terpaksa memecut kerana ketakutan.
Muhamad Azamuddin berkata, Aminulrasyid juga tidak mahu terbabit dengan sebarang masalah kerana Allahyarham memandu kereta kakaknya tanpa kebenaran dan mahu pulang terus ke rumah seperti yang dilaporkan Berita Harian pagi ini.
Muhamad Azamuddin berkata, kumpulan penunggang itu mengejar mereka sehingga di Bulatan Kayangan, Seksyen 12, apabila sebuah motosikal terlanggar belakang kereta berkenaan sebelum penunggangnya terjatuh.
Katanya, Aminulrasyid bagaimanapun terus memecut kerana takut dan apabila sampai di Kompleks PKNS, kereta dipandu Allahyarham memotong sebuah kereta peronda polis yang kemudian bertindak mengejar mereka.
Muhamad Azamuddin berkata, walaupun diarah berhenti, Aminulrasyid terus memecut dan setiba di simpang berhampiran sebuah stesen minyak di Seksyen 11, dia terdengar bunyi tembakan sebelum menyedari tayar kereta itu pancit.
Katanya, polis kemudian melepaskan satu lagi tembakan yang mengenai belakang kepala Aminulrasyid selepas Allahyarham masih enggan memberhentikan keretanya.

Bagaimanapun katanya setelah kereta tersebut berhenti beliau keluar dengan niat untuk menyerahkan diri tetapi telah dibelasah dan diterajang oleh lebih lima orang anggota polis selaian diacukan dengan senjata.

Beliau yang masih trauma akibat kejadian tidak dapat menjawab lebih banyak pertanyaan.

Sementara keluarga Allahyarham merayu kepada semua pihak bagi menghentikan spekulasi dan membuat kenyataan yang boleh melukakan perasaan ibu Aminulrasyid.

PMIUM melihat isu ini sebagai satu kes yang perlu diberi perhatian khusus. Berdasarkan kepada kenyataan adik Azamuddin, tindakan polis membelasah dan mengacukan senjata kepada beliau setelah beliau menyerahkan diri adalah tindakan yang melampau. Ini juga bukan kes pertama bersabit salah laku polis. Beberapa kes sebelum ini berhubung Mohamad Tawfiq Noorzan, pemuda yang ditembak mati oleh polis di Guar Sanji dan Norizan Salleh yang mendakwa anggota polis bertindak tidak mengikut undang-undang dengan menembak dan mengasarinya dalam satu kejadian dalam Oktober tahun lalu.

Sebagai badan mahasiswa yang tidak mahu membiarkan kekejaman dan kecuaian seumpama ini terus bermaharajalela, PMIUM berpendirian :

  1. Perkara yang paling serius dalam isu ini adalah salah laku dan kecuaian anggota polis yang tidak sepatutnya berlaku dalam badan yang menjaga keamanan dan menjadi rujukan kepada masyarakat atas segala permasalahan sosial. Sebagai badan yang bertanggugjawab membela rakyat, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) seharusnya bertindak lebih berhati-hati dan tidak terlalu mengikut nafsu. PMIUM juga menyarankan agar PDRM menilai kembali pengamalan objektif PDRM. PMIUM percaya, penubuhan PDRM adalah satu keperluan yang mendesak dalam memastikan undang-undang dan keamanan negara di awasi dengan sebaiknya. PMIUM juga tidak menafikan bahawa PDRM sudah menjalankan tugas dengan sehabis baik. Bagaimanapun PMIUM kecewa dengan tindakan sebilangan anggota polis yang ibarat merosakkan susu sebelanga. Jesteru adalah lebih membanggakan sekiranya PDRM benar-benar bertindak sebagai badan yang menjaga kemaslahatan bersama dan bebas dari kongkongan pihak-pihak tertentu.
  2. Di pihak media, PMIUM menyarankan agar laporan yang telus perlu dibuat agar tidak menimbulkan salah sangka pembaca dan rakyat Malaysia seluruhnya yang hanya mengikuti perkembangan isu ini melalui media. Sebagai contoh dakwaan mengenai Allahyarham yang terlibat dengan kes juvana tidak sepatutnya dilaporkan memandangkan tidak ada bukti yang mensabitkan Allahyarham sebagai pesalah juvana. PMIUM juga tertarik memetik laporan Malaysiakini berhubung kedudukan Malaysia di tangga ke-141 dalam kebebasan akhbar yang dibuat oleh Freedom House di kalangan 196 negara. Laporan itu menyatakan akhbar Malaysia tidak bebas. Jesteru PMIUM menyarankan kepada badan-badan akhbar Malaysia untuk lebih bersifat bebas dan telus dalam menyampaikan berita dan tidak sewenang-wenangnya melaporkan berita yang berbau fitnah.
  3. PMIUM juga bersetuju dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mahu supaya setiap kereta peronda polis dilengkapi kamera video bagi memudahkan pegawai terbabit merakam setiap insiden yang berlaku. Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pada kereta peronda polis seperti di negara maju ini penting supaya boleh dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku sesuatu insiden.
  4. PMIUM juga berpendirian institusi kekeluargaan perlu bertanggungjawab dalam memantau pegerakan anak-anak. Institusi kekeluargaan adalah madrsah pertama dalam melahirkan insan-insan yang berakhlak tinggi. Kita yakin, kelompangan institusi kekeluargaan ini sudah banyak disedari oleh semua pihak. Walaubagaimanapun, kesedaran itu tidak akan bermakna tanpa disusuli dengan tindakan dan kesungguhan. 
  5. PMIUM menyokong saranan sesetengah pihak yang mahu kes ini diselesaikan dengan seadilnya. PMIUM menyokong saranan menubuhkan satu suruhanjaya khas dalam menyelesaikan kes ini bagi memastikan kes seumpama ini tidak berlaku lagi dikemudian hari. Berhubung permintaan keluarga Allahyarham yang mahu siasatan diraja dilakukan kerana berpendapat hanya itu sahaja cara bagi mendapatkan siasatan yang telus dan adil, PMIUM berpendirian permintaan tersebut perlu dipenuhi
Penutup

PMIUM amat mengharapkan kejadian malang seumpama ini tidak lagi berlaku. Isu seumpama ini seharusnya dijadikan satu muhasabah dalam kita menjalankan tugas walau di manapun peranan kita lebih-lebih lagi sebagai hamba Allah. PMIUM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid. Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan mempermudahkan segala urusan berkenaan kes ini. PMIUM mendoakan semoga roh adik Aminulrasyid tergolong dalam golongan mereka yang diterima Allah sebagai hamba yang beriman.


0 comments:

Post a Comment

 
© Design Blog : LajPen PMIUM ~PMIUM 10/11~