7/16/2010

Syabas, Selamat datang dan Selamat kembali ke UM - Syazwan

Penulis  : Ahmad Syazwan b. Mohd Hassan
Assalamualaikum wbt…

Syabas dan tahniah! Saya ucapkan kepada warga baru kampus uni perdana ini. Tidak dilupakan buat rakan-rakan seperjuangan yang telah selamat kembali ke kampus untuk sesi yang baru kali ini. Ayuh bersama-sama kita terus melakar  kecemerlangan di kampus tersayang ini seiring dengan misi dan visi Universiti Malaya.

Rakan-rakan yang dikasihi,

Suka untuk saya menyeru kepada seluruh teman-teman mahasiswa/wi agar sama-sama mencatur langkah sebaik mungkin demi kejayaan di masa hadapan. Buat adik-adik yang baru menghirup nafas alam kampus ini,aturlah masa dan segala urusan kehidupan sebaik mungkin. Mulai saat ini,telah bermula agenda hidup sebagai mahasiswa yang sarat dengan ujian demi mencapai satu kejayaan yang menjadi harapan agama,bangsa dan keluarga.


Kepada rakan-rakan yang telah lama merasai alam kampus ini, mari bersama kita meningkatkan usaha, semangat dan keazaman untuk menggapai kejayaan. Moga kita bersama mampu menjadi ikon dan teladan yang baik kepada adik-adik yang baru mendaftar. Ambillah teladan dan motivasi daripada pengalaman-pengalaman yang telah dirasai sepanjang berada di kampus perdana ini sebagai panduan dalam meneruskan kehidupan hari ini dan akan datang.

Teman-teman sekalian,

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim”. Bertitik tolak dari pesanan inilah,kita semua berada di sini atas satu niat murni iaitu mengutip mutiara ilmu sebanyak mungkin di lembah ilmu ini. Timbalah ilmu sebanyak mungkin kerana ianya adalah cahaya petunjuk sepanjang perjalanan kehidupan kita. Ilmu tidak hanya bermaksud hanya sekadar kita mengikuti kuliah semata-mata. Ilmu berada di serata tempat, hanya terpulang kepada mereka yang mencari dengan penuh kesungguhan,pasti akan menemuinya.

Akhir kalam dari saya, semoga semester dan tahun baru ini diiringi dengan keazaman dan kesungguhan yang tinggi dalam diri kita. Perbetulkan niat untuk belajar. Semoga kejayaan milik kita bersama. Ayuh bersama Persatuan Mahasiswa Islam menjulang keilmuan dan keintelektualan.

Sekian,terima kasih.

“PMIUM Bersama Semua”
 * Beliau merupakan presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

0 comments:

Post a Comment

 
© Design Blog : LajPen PMIUM ~PMIUM 10/11~