8/29/2010

Ramadhan dan kesabaran



  
Ditulis oleh : Saudara Zulfazrie Bin Mohd Zaid
                   Exco Akademik & Keintelektual

 Salam sejahtera salam Ramadhan buat sahabat-sahabat dan rakan-rakan mahasiswa sekalian. Pujian yang selayaknya hanya kepada Allah s.w.t, tuhan yang telah menciptakan alam ini serta yang telah memberikan nikmat kesihatan kepada semua hambanya. Selawat dan salam ke atas kekasih Allah s.w.t iaitu Nabi Muhammad s.a.w, keluarga serta sahabat-sahabat baginda ridhwanullahi alaihim.


Alhamdulillah, kita telah pun memasuki fasa terakhir di dalam bulan Ramadhan al-karim pada tahun ini. Persoalan pertama yang perlu kita Tanya kepada diri kita, sejauh manakah amalan kita hingga sekarang? Adakah kekal sama? Semakin meningkat? Atau semakin berkurang? Jawapannya terletak kepada diri saya dan sahabat-sahabat sendiri.

Ramadhan menjanjikan kita ganjaran atau bonus yang berlipat kali ganda kepada umat Islam yang melaksanakan segala macam ibadah pada bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w telah menyatakan antara kelebihan yang akan didapati oleh umatnya apabila berpuasa dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas pada bulan Ramadhan. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu”.

-         Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

Perlu diingat sahabat-sahabat, dosa yang dimaksudkan dalam hadis ini bukanlah dosa besar, tetapi dosa-dosa kecil. Dosa besar hanya boleh diampunkan oleh Allah s.w.t dengan taubat nasuha.

Selain daripada itu, kita juga digalakkan untuk bangun di waktu sepertiga malam untuk melaksanakan qiyamullail. Apalah salahnya jika kita dapat melaksanakan solat sunat sebelum bersahur. Ini adalah cara yang paling mudah bagi kita yang bergelar mahasiswa. Ditambah pula dengan zikir serta tadabbur al-quran. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang bangun (qiyamullail) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”

-         Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Sahabat-sahabat yang dirahmati sekalian, bulan Ramadhan juga mentarbiyah kita supaya menjadi mahasiswa yang penyabar. Sabar dalam setiap tindakan serta musibah yang menimpa kita. Baru-baru ini kita digemparkan dengan tragedi banjir besar yang telah melanda Pakistan. Negara yang mana majoriti rakyatnya beragama Islam. Dilaporkan hampir 20 juta rakyat Pakistan yang terjejas akibat banjir besar ini dan 6 juta orang kehilangan tempat tinggal. Inilah ujian yang Allah berikan kepada hambanya untuk menguji sejauh mana tahap keimanan mereka. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja untuk mengatakan, “Kami telah beriman”, sedangkan mereka belum pun diuji”.

-         Surah Al-Ankabuut 29:2

Justeru, saya mengajak diri saya serta sahabat-sahabat sekalian agar terus istiqamah dalam menjalani ibadah di bulan Ramadhan yang berkat ini. Sekian, wassalam.

2 comments:

محمد حذوان بن حميدان said...

same2lah kita terus istiqamah merebut keberkatan ramadhan itu sendiri sebelum ia pergi mngglkn kita.. (^_^)

Azlan Zailnal said...

PMIUM ni memang tolol. Baca blog aku ni untuk maklumat lanjut.

http://maharajazhou.wordpress.com/2010/04/28/haram-pmium-bersetongkol-dengan-dema

Post a Comment

 
© Design Blog : LajPen PMIUM ~PMIUM 10/11~