4/20/2011

SIM, PMIUM Kritik Kenyataan MP Pasir Mas

Petaling Jaya, 11.4 : Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) hari ini mengeluarkan kenyataan mendesak Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali agar segera memohon maaf atas kenyataan beliau baru-baru ini. (Klik)

MP Pasir Mas (Bebas) itu menyatakan bahawa “isteri abai tanggungjawab punca hubungan luar nikah”.

Melalui Naib Yang Di-Pertua PMIUM, Rohayu Rusli, kenyataan Ibrahim Ali ketika sesi soal jawab di Parlimen menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai adab terhadap kaum wanita khususnya bagi wanita yang beragama Islam.

“Saya menganggap tuduhan beliau itu merupakan suatu penghinaan terhadap golongan wanita.”

Menurutnya lagi, Datuk Ibrahim Ali sengaja mengeluarkan kenyataan tersebut semata-mata ingin mengaitkannya dengan kejadian rakaman video seks yang dikaitkan dengan Penasihat PKR.

Mahasiswa Tahun Kedua jurusan Usuluddin UM juga hairan kerana masih terdapat pemimpin (beragama Islam) mempunyai pemikiran seperti itu iaitu menganggap seorang isteri adalah pelengkap nafsu sahaja.

“Beliau amat dangkal dalam menilai isu ini. Bagaiamana pula dengan kondisi hari ini yang membenarkan sewenang-wenangnya seorang wanita menjadi faktor pelaris di mana-mana sahaja?

Sementara itu, dalam satu kenyataan lain, Pengerusi Sisters in Movement (SIM), Masturah Abu Bakar juga mengkritik kenyataan dangkal tersebut dan memberi amaran jangan menghukum Islam dengan sesuka hati.

“Saya tidak nafikan Islam menggariskan supaya seorang isteri perlu taat kepada tuntutan suami. Tetapi ini bukanlah tiket untuk mempergunakan panduan yang digariskan agama Islam ini sesuka hati.”

Ujarnya lagi, “Beliau mesti ingat, integriti dan tanggungjawab terhadap hubungan pernikahan bukanlah berada di atas pundak isteri sahaja. Islam meletakkan keduanya mempunyai hak yang sama.”

“Malah, tanggungjawab si suami lebih berat dalam mendidik isteri dan anak-anak.”

“Salah faham terhadap hak dan tanggungjawab ini menjadikan pemimpin dan masyarakat masih menganggap wanita sebagai alat pemuas nafsu meskipun seorang wanita sudah menjadi isteri yang sah dan sepatutnya dihormati.

Masturah juga menyatakan hidup masyarakat hari ini masih gagal dididik mengikut norma-norma agama Islam dan adab Melayu sebaiknya.

Beliau juga menyatakan politik, media, hiburan dan sebagainya lebih banyak memberikan pendidikan yang tidak baik terhadap masyarakat berbanding untuk kebaikan.

Kedua-dua belah pihak (PMIUM, SIM) turut sama mendesak agar Datuk Ibrahim Ali mengeluarkan kenyataan mohon maaf secara terbuka dan ikhlas terhadap kenyataan yang dianggap merendahkan peranan golongan wanita

0 comments:

Post a Comment

 
© Design Blog : LajPen PMIUM ~PMIUM 10/11~