11/10/2010

Neraka dan azab didalamnya

   Salam sejahtera, salam satu ummah buat sahabat-sahabat serta rakan-rakan mahasiswa sekalian. Bersua lagi kita pada kali ini dalam bulan Zulhijjah yang mulia ini. Mudah-mudahan kita sentiasa dalam keadaan yang sihat dan sejahtera untuk melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Rakan-rakan mahasiswa yang dirahmati sekalian, sebagai umat Islam yang telah melafazkan janji setia di hadapan Allah s.w.t untuk beriman kepadaNya, kita wajib beriman dengan setiap lafaz yang terdapat di dalam rukun Islam dan rukun iman. Antara yang wajib seluruh muslim yakin dan beriman akan adanya hari pembalasan serta yakin adanya pembalasan syurga dan neraka.

Syurga dan neraka adalah perkara sam’iyyat iaitu perkara yang hanya dapat kita dengar dan kita sebagai hamba Allah s.w.t tidak berkuasa untuk melihat syurga dan neraka. Terdapat banyak dalil naqli yang menyebut secara langsung tentang syurga dan neraka. Allah s.w.t telah menggambarkan betapa indahnya kehidupan mereka yang hidup di dalam syurga manakala Allah s.w.t juga telah memberikan gambaran tentang kepedihan seksaan di dalam neraka.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang yang bertaqwa ialah seperti taman; mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tidak henti-henti sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi mereka yang bertqawa, sedangkan tempat kesudahan bagi orang kafir adalah neraka.”
(Surah Al-Ra’d, 13:35)

Ayat di atas merupakan gambaran oleh Allah s.w.t tentang bonus yang akan diterima oleh orang-orang yang bertaqwa. Sementara Allah s.w.t juga telah memberikan gambaran akan sifat-sifat neraka yang telah diciptakan Nya.

Di dalam satu hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Yazid Arraqqasyi dari Ana bin Malik r.a yang mana Jibrail telah memperincikan kepada nabi akan cirri-ciri neraka Jahannam. Antara cirri-ciri yang disebutkan adalah betapa panasnya api neraka Jahannam itu sehinggakan warnanya menjadi hitam gelap dan tidak pernah akan padam. Di samping perumpamaan yang dibawakan Jibrail bilamana baju ahli neraka digantung di antara langit dan bumi maka akan mati manusia dek kerana kepanasan

Rakan-rakan mahasiswa, dalil naqli di atas adalah sebahagian kecil dalil-dalil tentang nikmat di syurga dan azab di neraka. Selaku mahasiswa Islam yang yang beriman akan adanya hari pembalasan serta yakin adanya seksaan neraka, maka kita tidak boleh sewenang-wenangya mempermainkan dan memperolokkan tentang seksaan neraka. Hadis nabi s.a.w di atas jelas menyatakan sifat neraka yang sangat dahsyat kepanasannya.
Justeru, saya menasihati diri saya serta rakan-rakan agar kita sentiasa merujuk kepada mereka yang faqeh dan berautoriti jika berlaku kemusykilan di dalam urusan agama. Wallahu ‘alam.

MOHD ZULFAZRIE BIN MOHD ZAID
EXCO AKADEMIK DAN INTELEKTUAL
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA

1 comments:

محمد حذوان بن حميدان said...

perkongsian yg mntap..moga ia mmpu mmbuka mta hti pmbca..amin

Post a Comment

 
© Design Blog : LajPen PMIUM ~PMIUM 10/11~