1/04/2011

Azam baru di semester baru

Salam sejahtera, salam satu ummah buat sahabat-sahabat serta rakan-rakan mahasiswa sekalian. Bersua lagi kita pada kali ini dalam bulan Muharram 1432 H yang mulia ini. Mudah-mudahan kita sentiasa dalam keadaan yang sihat dan sejahtera untuk melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan dengan rahmat dan kasih sayangnya kita masih lagi diberikan kesempatan untuk berada pada tahun baru 2011 ini. Perkara yang paling penting dan segera yang perlu kita lakukan adalah merenung kembali sejauh mana amalan dan pencapaian yang telah kita lakukan pada tahun lepas. Persoalan yang perlu ada dalam diri kita ialah adakah kita telah melaksanakan sesuatu perkara itu dengan bersungguh-sungguh atau sambil lewa.

Jawapannya adalah sesuatu perkara yang kita laksanakan terletak kepada niat dan keazaman kita untuk melaksanakannya. Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis sahih yang bermaksud:

“Sesungguhnya setiap amalan itu dimulakan dengan niat dan bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan”.
          Riwayat Bukhari dan Muslim

Semestinya bila tiba sahaja tahun baru, pastinya setiap dari kita akan memasang azam dan impian yang baru dan hebat. Ini memang bertepatan dengan konsep hijrah itu sendiri iaitu perubahan yang dilakukan daripada yang buruk kepada baik serta daripada yang baik kepada yang lebih baik. Oleh itu, setiap perbuatan yang kita lakukan sama ada baik atau buruk bergantung pada niat. Niat ini datangnya daripada hati kita lantas akan dilaksanakan melalui perbuatan kita.

Bagi pemimpin sudah tentu mereka berazam untuk melaksanakan tugas dengan penuh integrity, bagi mahasiswa seperti sudah tentu mereka mahu meningkatkan prestasi dalam akademik sementara bagi pensyarah pula mereka berazam untuk menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan kecemerlangan university. Ini semua adalah perkara yang permulaannya adalah dengan niat.

Dalam Islam tidak ditentukan untuk kita supaya memperbaharui azam apabila tiba tahun baru tetapi seharusnya kita sentiasa berazam pada setiap pagi dan petang serta siang dan malam. Setiap niat itu mestilah disertakan dengan usaha yang bersungguh-sungguh bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Jika hasil akhir yang kita lakukan kurang Berjaya atau tidak berhasil janganlah menyalahkan diri sendiri atau orang lain sebaliknya bersyukur dengan apa yang didapati jika kita telah berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Justeru saya mengajak diri saya dan rakan-rakan sekalian agar kita sentiasa berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam melakukan perkara-perkara kebaikan kerana setiap perkara yang baik itu memerlukan kepada usaha dan pengorbanan yang besar untuk mencapai kecemerlangan. Mudah-mudahan kita sentiasa berada diperhatian Allah s.w.t serta limpah dan rahmat-Nya. Wallahu a’lam.

Penulis merupakan Exco Akademik dan Keintelektualan PMIUM.

0 comments:

Post a Comment

 
© Design Blog : LajPen PMIUM ~PMIUM 10/11~